Dua penerbangan yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sibu terjejas hari ini ekoran jarak penglihatan yang terhad, mengakibatkan pesawat itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Bintulu.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu Zainuddin Abu Nasir berkata kedua-duanya membabitkan penerbangan AirAsia, iaitu penerbangan AK6462 dari Kuching yang dijadual mendarat pada pukul 7.55 pagi dan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur AK5876 dijadualkan mendarat pada pukul 9.55 pagi.

Beliau berkata bagaimanapun kedua-duanya pesawat dibenarkan kembali ke Lapangan Terbang Sibu apabila keadaan mengizinkan, dan masing-masing mendarat pada pukul 10.20 pagi dan 10.48 pagi.

Menurutnya satu lagi penerbangan MAS dari Kota Kinabalu yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 9.10 pagi, juga terpaksa berlegar di udara dan hanya dapat mendarat sekitar setengah jam kemudian akibat faktor penglihatan terhad.

Beliau yang dihubungi Bernama memberitahu bahawa selain itu, sehingga pukul 6 petang enam pendaratan dan tiga perlepasan pesawat di Lapangan Terbang Sibu mengalami kelewatan.

Zainuddin berkata antara pukul 6 dan 10 malam ini Lapangan Terbang Sibu dijangka mengendalikan 13 lagi perlepasan dan pendaratan pesawat, namun sehingga kini pihaknya tidak menerima permohonan dari mana-mana syarikat penerbangan untuk melanjutkan waktu operasi mereka.

Beliau berkata jika perlu Malaysia Airports akan sentiasa memberikan bantuan yang diperlukan oleh mana-mana syarikat penerbangan untuk kepentingan semua pihak.

Sementara itu pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pula ketika dihubungi memberitahu bahawa sehingga kini empat penerbangan MAS dan satu satu penerbangan AirAsia mengalami kelewatan dalam jadual penerbangan masing-masing di sini akibat cuaca buruk.