Kerajaan masih menyusun beberapa lagi agensi untuk diletakkan dalam kementerian-kementerian yang diwujudkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata proses pengagihan agensi itu mengambil masa bagi mengelakkan pertindihan fungsi dalam mana-mana agensi.

“Kita masih menyusun bahagian-bahagian yang akan di letak di bawah kementerian-kementerian kerana kita mempunyai kementerian yang baharu.

“Kita mempunyai usaha untuk mengagihkan tugas dengan banyak menteri lain.

“Kadang-kadang ada timbal tindih antara satu kementerian dengan kementerian yang lain. Maka kita akan betulkan,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa terdapat tujuh agensi di bawah Kementerian Kewangan akan dibubarkan.

Pada Sabtu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk menjawab dakwaan tersebut.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak mempunyai butiran terperinci berkenaan dakwaan itu.