ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 31 Mei 2020.

1) COVID-19: 57 kes baharu, 23 kes sembuh

Sebanyak 57 kes baharu COVID-19 dikesan di negara ini setakat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 7,819 kes.

2) COVID-19: Kematian dalam kalangan perokok lebih tinggi

Golongan perokok dikategorikan lebih berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk sekiranya mereka dijangkiti wabak COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berdasarkan analisis awal yang dijalankan ke atas 86 pesakit COVID yang telah meninggal dunia mendapati 19.8 peratus iaitu 17 orang terdiri daripada kumpulan perokok.

3) COVID-19: Kepatuhan rakyat Malaysia baik, mungkin lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi

Data dan fakta yang dikumpul Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan rakyat Malaysia mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam usaha mengelakkan penularan COVID-19.

4) COVID-19: Empat lagi kes dikesan di sekolah tahfiz, madrasah

Empat lagi disahkan positif dalam kalangan kumpulan sekolah tahfiz dan madrasah menjadikan keseluruhan 695 kes dikesan daripada kumpulan itu, setakat Ahad.

5) COVID-19: 56 kontak rapat kes kakitangan Wisma Putra dikesan

Seramai 56 kontak rapat kes positif COVID-19 membabitkan kakitangan Kementerian Luar telah dikesan dan menjalani ujian saringan, setakat ini.

6) COVID-19: Tempoh tawaran PATI tampil sukarela berakhir, kerajaan kembali 'buru'

Tiada istilah pengampunan diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya kerajaan memberikan kebenaran untuk kumpulan tersebut tampil menjalankan ujian saringan COVID-19 tanpa sebarang dokumen.

7) PKPB: 158 ditahan, 457 individu terima kompaun

Seramai 158 individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayart (PKPB), pada Sabtu.

8) SOP Hari Gawai sama seperti sambutan perayaan lain - Ismail Sabri

Sama seperti perayaan Aidilfitri, aktiviti kunjung-mengunjung sempena Hari Gawai hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dengan had maksimum 20 individu.

9) Liga Bola Sepak Malaysia tidak dibenarkan - Ismail Sabri

Penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia tidak dibenarkan meskipun tanpa dihadiri penonton kerana sukan tersebut mempunyai kontak fizikal antara pemain-pemain yang disifatkan sebagai bahaya.

10) Peniaga didenda RM5,000 memandu dalam keadaan mabuk

Seorang peniaga didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Alor Setar hari ini atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, Rabu lalu.

Tertuduh, Sim Kah Wei, 49, berasal dari Butterworth, Pulau Pinang, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.