MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 1 Jun 2020. - Astro AWANI
ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 1 Jun 2020.
Sebanyak 38 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,857 kes.
Sekiranya jangkitan COVID-19 di Malaysia terkawal dengan bilangan kes pesakit kekal satu atau dua angka, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kerajaan supaya prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan di beberapa sektor termasuk sektor pendidikan, sukan dan sosial.
Pemantauan dan pengawasan di tiga kluster COVID-19 ditamatkan pada Isnin. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan Kluster Madrasah Ayer Merbau, Kluster Kampung Baru dan Kluster Malayan Mansion.
Malaysia kini berdepan dengan satu cabaran baharu iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Meskipun kes jangkitan semakin berkurangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjalankan aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19.
Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.
Seorang pembantu kedai aksesori kereta yang videonya tular di media sosial apabila merempuh seorang penghantar makanan awal pagi ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa hari ini mencadangkan supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengarahkan pegawai kementeriannya untuk menyediakan satu Memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan Kabinet pada bulan ini berhubung tindakan terhadap mereka yang memandu dalam keadaan pengaruh alkohol atau dadah.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bagi musim 2020 berikutan pandemik COVID-19.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami