ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 29 Jun 2020.

1) COVID-19: Tiga kes baharu, tiada kematian - Dr Noor Hisham

Bilangan kes baharu harian COVID-19 kembali ke satu angka iaitu tiga kes, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia setakat 29 Jun adalah 8,637 kes dengan kes kebolehjangkitan aktif sebanyak 182 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

2) 300 kakitangan Media Prima terima notis pemberhentian

Kira-kira 300 kakitangan Media Prima Bhd (Media Prima) menerima notis pemberhentian kerja yang memaklumkan tarikh akhir perkhidmatan mereka ialah pada 31 Julai 2020.

3) Pelajar Tingkatan 5, 6 sudah dewasa, tahu jaga diri - Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan bahawa pelajar sekolah menengah terutama Tingkatan Lima dan Enam sebagai orang dewasa dan perlu tahu menjaga keselamatan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

4) Bunuh 'Datuk Seri': Polis reman 'El', kini cari 'Thamby'

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan bahawa pihak polis berjaya menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berkaitan kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri'.

5) Haniza sifatkan tindakan PKR lucut keahliannya "seperti balas dendam"

Bekas Ketua Wanita PKR Haniza Mohamad Talha, yang dilucut keahliannya daripada PKR pada mesyuarat parti itu semalam menyifatkan PKR dilihat ingin membalas dendam dengan memecat dan "memburu" ahli parti yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

6) Pendawaian di semua hospital di seluruh negara akan diperiksa - KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi keutamaan untuk memeriksa semula sistem pendawaian di hospital di seluruh negara bagi mengelak kejadian kebakaran seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pada Ahad.

7) Korban lembu wagyu RM29,999 satu bahagian

Sebuah syarikat tempatan, Asia Harvest Agro menawarkan pakej korban lembu wagyu sempena Hari Raya Aidilahda yang mencecah RM29,999 bagi satu bahagian.

Pengarah Urusan syarikat tersebut, Najib Jalil berkata, pakej itu telah dilancarkan semalam selepas pihaknya mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar agama.

8) Taman tema air dibenar beroperasi 1 Julai - Ismail Sabri

Berita baik buat semua! Sebanyak 54 taman tema termasuk taman tema air di seluruh negara dibenarkan beroperasi bermula Rabu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

9) Ingin anjur kenduri atau majlis perkahwinan? Ini SOP yang perlu dipatuhi...

Kementerian Perpaduan Negara pada Isnin mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran majlis sosial termasuk kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan.

10) Kes Bunuh CEO Cradle Fund: Bilik bahan bukti sementara bomba hanya simpan barang kes Nazrin

Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, pada Isnin diberitahu hanya barang kes yang diambil dari bilik mangsa sahaja disimpan dalam bilik bahan bukti sementara bomba Selangor pada Jun 2018.