Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempergiat pemantauan dan memperkasakan peraturan berkenaan keselamatan di kawasan tapak pembinaan di ibu negara, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau berkata pemantauan secara berkala akan dilaksana bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.

"Bagi kawasan tapak pembinaan yang dikeluarkan arahan pembangunan oleh DBKL, kita boleh membantu agensi berkaitan untuk memantau dan memperkasakan peraturan di semua tapak binaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan meminta DBKL dan agensi berkaitan menyemak semula peraturan di tapak pembinaan bagi memperketat aspek keselamatan melibatkan orang ramai.

Ia susulan kejadian kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Sabtu lepas.

Sabtu lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut apabila kenderaannya dihempap kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.

-- BERNAMA