Mufti Perlis Prof Madya Mohd Asri Zainul Abidin berkata umat Islam perlu mempersiapkan mental dan rohani mereka menjelang bulan Ramadan.

Beliau berkata bulan Ramadan bukan merupakan bulan di mana umat Islam perlu memfokus hanya kepada mempersiapkan diri dari aspek fizikal semata-mata seperti mahu berehat banyak.

"Bila tiba bulan Ramadan, apa yang perlu dihayati ialah kelebihan bulan mulia itu. Lebihkan amal ibadat, menginsafi diri, mencari keberkatan dan keredaan Allah SWT.

"Ramadan bukan bulan untuk kita berfikir mahu makan apa, berbuka puasa dengan apa, mahu berbelanja apa serta ghairah ke pasar Ramadan dan membeli mengikut nafsu yang akhirnya menjadi pembaziran," katanya pada forum khas mengenai Ambang Ramadan anjuran Jabatan Mufti Perlis di Masjid Alwi di sini.

Mohd Asri turut mengingatkan umat Islam agar tidak mengisi bulan Ramadan dengan perbuatan sia-sia, sebaliknya menahan nafsu mereka daripada melakukan segala perkara yang tidak baik dan mengisinya dengan amalan kebaikan yang dijanjikan ganjaran pahala.

"Betulkan ibadat yang wajib supaya lebih sempurna, penuhilah Ramadan dengan pengisian amalan-amalan sunat, berzikir dan membaca al-Quran. Janganlah membazir masa dengan perbuatan tidak berfaedah, perbuatan yang berdosa serta membazir ketika berbelanja untuk persiapan menjelang hari raya," katanya.

Seorang lagi ahli panel iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata umat Islam harus melatih diri untuk bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kesalahan yang mereka lakukan sebelum ketibaan bulan Ramadan.

Beliau berkata sepanjang Ramadan umat Islam perlu memperbanyakkan taubat dan ibadat mereka kerana di bulan mulia itu Allah akan memperkenankan doa hambanya, malah amalan taubat perlu diteruskan pada bulan-bulan seterusnya. - BERNAMA