Polis mengesahkan bungkusan mencurigakan berhampiran Wisma Bernama dan Perpustakaan Negara disahkan hanya mengandungi botol minyak masak dan kapas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya mengerahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) sebaik menerima laporan.

"Setelah melakukan penilaian, pihak UPB bertindak memusnahkan bungkusan berkenaan menggunakan alat kawalan jauh dan didapati ia hanya mengandungi botol minyak masak dan kapas.

"Tindakan memusnahkan bungkusan berkenaan adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak UPB," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Roy, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu bertanggungjawab membuat ancaman palsu berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.33 petang Isnin, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bergegas ke lokasi setelah menerima laporan penemuan bungkusan misteri bersama nota ugutan bom.

Menurut jurucakap bomba, pihaknya mengarahkan orang awam mengosongkan kawasan terbabit sebagai langkah keselamatan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.