Cadbury Malaysia hari ini melahirkan rasa lega dengan kenyataan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Isnin bahawa cokelat yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi DNA babi (porcine).

Menurut Pengarah Urusannya, Sunil Sethi, walaupun insiden ini memberi kesan mendalam kepada Cadbury, beliau bersyukur pihak berkuasa telah bertindak memberikan penjelasan yang sepatutnya kepada orang ramai.

“Cadbury Malaysia berasa sangat gembira dengan pengesahan dari JAKIM dan sentiasa berpegang kepada pendirian ini sejak awal lagi bahawa semua produk Cadbury adalah halal.

“Kami berharap pada masa hadapan, apa-apa penemuan di dalam keputusan ujian akan dkaji secara dalaman sebelum diwar-warkan kepada orang awam,” kata Sunil lagi.

Pada 2 Jun, JAKIM telah menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bahawa tiada DNA babi seperti yang didakwa ke atas dua sampel produk terlibat iaitu:

i. Cokelat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 ; dan

ii. Cokelat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1

JKM berkata pihaknya telah memberi keutamaan dalam pengujian sampel bagi dua produk coklat Cadbury yang menjadi isu nasional itu berikutan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 yang lalu.