Dua Profesor Adjung di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen ke-30 universiti berkenaan, di sini hari ini.

Mereka ialah Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dan Profesor Adjung Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Safinaz Tan Sri Dr Fng Ah Seng.

Kedua-dua ijazah disampaikan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UUM ke-30, di sini hari ini.

Redzuawan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Seni Kulinari) manakala Fng yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd menerima Ijazah Kerhormat Doktor Falsafah (Tanggungjawab Sosial).

Seramai 5,935 graduan menerima ijazah dalam majlis yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini membabitkan lapan sesi.

Ia membabitkan 4,439 graduan Sarjana Muda dan 1,496 graduan pasca siswazah yang meliputi 301 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (4), Doktor Pentadbiran Perniagaan (29), Ijazah Sarjana (1,107) dan Diploma Siswazah Dalam Pendidikan seramai 55 orang.

Sementara itu, Chef Wan dalam ucapannya, berkata beliau tidak pernah bermimpi jauh sekali berangan-angan yang pada suatu hari beliau akan berdiri di atas pentas menerima pengiktirafan sebagai 'tukang masak'.

"Anugerah ini sudah pastinya akan menjadi perangsang untuk saya terus berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan lagi prestasi diri saya dan juga turut sama memberikan sumbangan kepada UUM, masyarakat dan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Katanya, apa yang dilakukan beliau selama ini untuk memperkenalkan masakan Melayu tradisional Malaysia agar lebih dikenali di peringkat antarabangsa dan juga sebagai kelestarian masakan Melayu agar ia tidak luput ditelan zaman.

"Saya amat berbangga sekiranya setiap resipi yang saya kongsikan dapat diguna oleh setiap masyarakat di luar sana dan mungkin ia juga boleh menjadi sumber pendapatan mereka.

"Saya juga percaya bahawa dengan makanan yang baik, kita dapat membina sebuah bangsa Malaysia yang berjaya satu hari nanti," katanya.

--BERNAMA