Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 5,439 kes atau 79.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, selain itu KKM turut mengesan 36 kes baharu berkaitan COVID-19 di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

"Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,855 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,304 kes," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, daripada jumlah tersebut, lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan tiada pertambahan kes kematian direkodkan di negara ini, menjadikan jumlah kematian kekal sebanyak 112 kes iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.