KUALA LUMPUR:Pengeluaran simpanan menerusi Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah satu-satunya cara bagi pencarum mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan harian akibat impak pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias kerajaan telah menyediakan banyak bantuan kewangan langsung melalui bantuan PRIHATIN, PRIHATIN SME +, PENJANA, dan KITA PRIHATIN yang berjumlah RM55 bilion untuk golongan B40 dan M40, serta kumpulan sasaran lain.

"Selain itu, terdapat juga langkah-langkah bantuan lain, seperti membenarkan akses ke Akaun 2 KWSP melalui i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion disalurkan kepada lebih daripada 4.7 juta pencarum sejak April tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, simpanan persaraan merupakan 'insurans' kesejahteraan masa depan pencarum dan membenarkan pengeluaran wang tersebut adalah sama seperti menghakis perlindungan itu.

"Saya menggesa ahli-ahli EPF agar membuat temu janji dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk membantu mereka merancang kewangan, yang dapat mengambil kira semua bentuk bantuan yang ada dan membantu mereka di waktu-waktu sukar ini," jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Muhyiddin Yassin berkata, adalah sukar bagi kerajaan untuk membenarkan pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP kerana ia akan memberikan masalah kepada pencarum di masa hadapan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan komited untuk memerangi COVID-19 dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti dan pada masa sama akan terus membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

Muhyiddin juga mengakui kerajaan kini mengalami kesukaran dalam usaha menyeimbangkan kehidupan rakyat yang terkesan dengan COVID-19, dan dalam masa sama perlu berusaha menyelamatkan ekonomi negara yang terjejas teruk.