Singapura melaporkan 61 kes baharu jangkitan COVID-19 bagi tempoh 24 jam, termasuk tiga kes import.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura di sini hari ini, kesemua kes import dikenakan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian itu memaklumkan terdapat dua kes dalam komuniti yang kedua-duanya warga Singapura.

Majoriti kes masih melibatkan pemegang permit kerja yang kini menjalani kuarantin.

Kes terbaharu menjadikan jumlah jangkitan di republik itu kini sebanyak 55,353.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 760 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,193 kes dalam komuniti dan 52,339 sebagai kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 49,609 pesakit atau 90 peratus daripada jumlah kes terkumpul telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti di sini.

Sementara itu, 112 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,544 pesakit yang mempunyai simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan COVID-19 di republik itu.

-- BERNAMA