Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan satu sistem dikenali eCOVID telah dibangunkan bagi memastikan pengumpulan data berkaitan COVID-19 di lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, usaha pemurnian data-data tersebut adalah hasil kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan temasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Ini adalah merupakan satu pencapaian yang baik berbanding sebelum ini, di mana data dari lapangan dan makmal telah dilaporkan secara manual.

“Pada 14 Mei 2020, KKM telah melaporkan sebanyak 297,342 individu telah menjalani ujian COVID-19, di mana 6,819 daripada jumlah tersebut disaring positif (iaitu kadar positif adalah sebanyak 2.29 peratus).

"Walau bagaimanapun, dengan penggunaan sistem pengumpulan data yang lebih baik ini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 15 Mei 2020 jam 12 tengah hari, KKM telah menyaring sebanyak 424,306 individu, di mana seramai 6,855 orang positif COVID-19 dan 417,451 orang adalah negatif. Ini menjadikan kadar positif adalah sebanyak 1.62 peratus,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.


Jelas beliau, jumlah saringan yang dijalankan itu menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak melakukan ujian tersebut dalam kalangan negara ASEAN lain.

“Saringan COVID-19 ini dijalankan secara tertumpu kepada kumpulan-kumpulan yang dikesan berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

“Pemurnian data ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk tujuh makmal swasta,” ujarnya.