Seorang guru sebuah sekolah swasta bernasib baik apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini hanya mengenakan hukuman bon berkelakuan baik terhadapnya yang mencuri minuman dan barangan penjagaan muka di sebuah pasar raya.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Kho Yen Yen, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri sebotol Nestle Bliss Original; sekotak Olay Te Gtle SPF15; seunit pastry deco; sebotol Safi penyegar dan sebotol Bertolli Olive Oil yang kesemuanya bernilai RM110.85.

Ibu kepada lima anak itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin.

Wanita itu juga diperintah melapor diri di balai polis setiap sebulan sekali selama dua tahun dan tidak boleh melakukan kesalahan jenayah dan sekiranya tertuduh tidak melapor diri atau terbabit dengan kejadian jenayah, dia akan dihukum penjara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pasaraya Aeon Big Mid Valley, di sini pada 11.30 pagi, 10 Jun lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebatan.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberi bon kelakuan baik dengan alasan itu adalah kesalahan pertamanya manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman berbentuk pengajaran. - Bernama