Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan dan menyifatkan mesej audio, kini tersebar di media sosial dan WhatsApp, yang mendakwa penamaan ahli telah digantikan dengan nama lain yang tidak berkaitan, sebagai tidak benar dan tidak berasas.

Dalam kenyataan, KWSP berkata ia melihat penyebaran maklumat yang mengelirukan itu, dengan niat untuk mengelirukan ahli dan mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan, dan akan mengambil tindakan tegas sebagaimana yang diperlukan.

"Siasatan kami mendapati tiada rekod kes sedemikian seperti dinyatakan oleh individu dalam mesej audio tersebut. Jika ahli mendapati butiran penamaan mereka tidak tepat, sila tampil membuat aduan dengan KWSP supaya perkara itu dapat diselesaikan," katanya.

Ahli digesa tidak diperdaya oleh mesej palsu itu dan berkongsinya di media sosial atau WhatsApp. Proses penamaan KWSP adalah amat sulit.

"Hanya ahli yang boleh melakukan perubahan atau mengemaskini nama penama mereka. Ahli dikehendaki hadir sendiri di cawangan KWSP, berikutan cap jari mereka diperlukan untuk mengesahkan proses penamaan tersebut," katanya.

Ahli digalakkan sentiasa menyemak akaun KWSP mereka dan mengunjungi mana-mana cawangan jika mereka ingin mengemaskini butiran penamaan mereka.

Maklumat lanjut, sila layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000.

-- BERNAMA