Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menyelar beberapa portal berita yang didakwa mempunyai kaitan dengan propaganda Yahudi.

Mengambil contoh apa yang berlaku pada Iraq, Mohd Razlan berkata portal-portal tersebut menggunakan fitnah yang memberi impak besar sebagai propaganda utama menjatuhkan pemimpin dan negara.

Dalam kenyataan yang dibuat di blog miliknya pada Sabtu, Mohd Razlan menamakan Malaysiakini, The Malaysian Insider dan The Edge sebagai rangkaian media Yahudi yang mendapat sokongan daripada Wall Street Journal, AFP, CNN dan BBC.

Katanya, media-media Yahudi tersebut kini sudah bertapak di Malaysia dan berupaya membina legasi mereka sendiri di sini.

Merujuk propaganda Yahudi yang pernah menjatuhkan kerajaan Iraq, beliau turut mengaitkan portal Sarawak Report sebagai membawa agenda serupa iaitu memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Katanya, kemunculan Sarawak Report yang terkenal dengan ‘pembohongan isu-isu semasa’ sengaja dijadikan rujukan oleh media tempatan dan luar negara.

“Kalau benar berita tersebut, tajuk yang patut digunakan bukanlah bersifat sumber maklumat dan kemungkinan tetapi sebaliknya,” kata Mohd Razlan.

Beliau memohon dan merayu agar rakyat Malaysia kekal bersatu dalam menempuh dugaan.

Berkenaan isu fitnah terhadap Datuk Seri Najib Razak, Mohd Razlan berkata tuduhan tidak ditujukan kepada Perdana Menteri semata-mata tetapi kepada semua rakyat Malaysia.

“Proses saman tetap akan berlaku tetapi apa yang sudah dirosakkan oleh Yahudi akan tetap terpahat dalam pikiran segelintir rakyat di sini," tambahnya.