Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Ahad menegaskan bahawa peruntukan khas yang diberikan kepada Kolej Universiti New Era adalah daripada Kementerian Kewangan sendiri, bukan daripada KPM.

KPM dalam satu kenyataan menjelaskan kementerian itu tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk kolej swasta daripada dana yang disediakan kepadanya melalui Belanjawan 2019.

"KPM ingin menegaskan bahawa peruntukan khas tersebut bukan daripada peruntukan kewangan KPM.

“Selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kolej itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) yang bukan Universiti Awam, antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018,” ujar kenyataan itu.

KPM turut menjelaskan bahawa kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ke majlis tersebut adalah hanya untuk memenuhi jemputan Kementerian Kewangan.

KPM juga berharap agar budaya memainkan sentimen perkauman dan memanipulasi fakta dielakkan bagi memelihara perpaduan negara dan seterusnya membolehkan negara maju ke hadapan selaras dengan aspirasi rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoal tindakan kerajaan menyerahkan bantuan kepada kolej swasta.

Menurut Khairy, ketika pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hanya menyebut mengenai dana kepada sekolah persendirian Cina.