Seorang ahli pernigaan bergelar datuk kerugian RM100,000 selepas diperdaya seorang lelaki dalam urusan jual beli lombong bijih besi di Chini, Pekan.

Kejadian bermula pada Disember tahun lalu apabila mangsa yang berusia 54 tahun ditawarkan lombong berkenaan yang dijual dengan harga RM1 juta oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, Jaya mendakwa lombong itu hendak dijual kerana kontraktor yang beroperasi sekarang tidak membayar kepada syarikat yang memiliki tanah berkenaan.

"Mangsa berminat untuk mengambil alih lombong bijih besi itu dan pada 29 Disember mangsa menyerahkan wang deposit sebanyak RM50,000 melalui cek dan RM50,000 lagi secara tunai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, wang berkenaan diberikan melalui Jaya untuk diserahkan kepada pemilik tanah lombong berkenaan yang juga bergelar datuk.

"Mangsa dan pemilik tanah lombong itu membuat membuat perjanjian sekiranya tidak dapat menamatkan kontraktor dalam masa sebulan dia akan memulangkan semula wang RM100,000.

"Bagaimanapun selepas dua bulan, mangsa mendapat makluman daripada Jaya, pemilik tanah itu mahu membuat bayaran semula wang RM100,000 kerana tidak dapat menunaikan perjanjian jual tanah itu," katanya.

Beliau berkata, suspek juga berjanji, sekiranya mangsa tidak memperolehi wang berkenaan, dia boleh mengambil lori milik syarikatnya.

"Tetapi sehingga kini, mangsa tidak memperolehi wangnya sebelum membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam," katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan jualan tanah perlombongan bijih besi yang tidak wujud di Chini sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.