RAUB: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didenda RM50,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memindahkan tanah miliknya ke tanah kerajaan tanpa kebenaran, pada Mei lepas.

Hakim Noor Aisah Mohamed turut memerintahkan Ho Fong Mee, 59, menjalani hukuman penjara 10 bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Mahkamah juga memerintahkan dua lori yang digunakan dalam kerja memindahkan tanah itu dilucut hak kepada kerajaan negeri Pahang.

Ho didakwa melakukan perbuatan itu pada 11 pagi 2 Mei lepas di Batu 10, Mukim Penjom di Kuala Lipis dekat sini tanpa kebenaran, yang merupakan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara 1965.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbuatan Ho terbongkar selepas lori yang memindahkan tanah miliknya ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati pemandu lori tidak mempunyai kelulusan untuk mengangkut tanah tersebut.

Semasa soal siasat, pemandu lori memaklumkan mereka menerima arahan daripada Ho untuk melakukan kerja itu, namun semakan di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis mendapati tiada kelulusan mahupun permohonan permit diterima untuk kerja memindahkan tanah di lokasi itu.

Ho yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana tidak mengetahui tindakannya memindahkan tanah dari tanah miliknya ke tanah kerajaan yang terletak kurang dari satu kilometer antara satu sama lain, adalah satu kesalahan.

"Saya mahu meratakan tanah milik saya kerana mahu digunakan, bukannya untuk dijual atau mencari keuntungan. Saya diberitahu oleh kontraktor (yang melakukan kerja meratakan tanah) yang tanah itu boleh diletak di situ (di tanah kerajaan)," katanya.

Pegawai Pendakwa UPNP Muhammad Najmi Zaki Amir Suhaimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana tindakan itu telah menyebabkan kerajaan negeri kerugian sekitar RM20,000, selain boleh mencemarkan alam sekitar.

-- BERNAMA