Bayangkan jika anda mahu membuat majlis kenduri, dengan 1,000 tetamu sudahpun dijemput, khemah sudah didirikan dan lembu juga sedia untuk ‘ditumbangkan’.

Namun, satu yang menjadi masalah – tiada air mengalir dari paip.

Senario itulah yang membelenggu sebuah keluarga dari Kampung Alor Cina, Mukim Tualang di sini yang bakal mengadakan kenduri perkahwinan, pada esok (Sabtu, 17 Mac).

Seorang ahli keluarga, Zainab Husin, 62, berkata masalah tekanan air rendah terus meruncing di kawasan itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Namun, masalah itu lebih ketara sejak Loji Rawatan Air Pokok Sena siap sepenuhnya pada November tahun lepas.

Hari demi hari, sejak dua bulan lalu, dia sekeluarga bersengkang mata setiap malam untuk menadah air yang mengalir untuk tempoh dua hingga 3 jam sahaja.

Itupun cukup-cukup untuk kegunaan harian mereka.

Untuk berjimat, mereka sekeluarga mandi cuma sehari sekali sementara baju dibasuh di kedai dobi.

“Setiap hari dapat la tadah sedikit. Air yang sedikit itulah yang ditadah dan dikumpul untuk mengisi tong besar dalam stor. Itupun tidga hari baru nak penuh. Macam mana nak buat ni?” keluh Zainab yang bimbang untuk melangsungkan kenduri nanti.

Menurut Zainab, masalah itu sudah berkali-kali diajukan kepada pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Cina, Mohd Tarmizi Harun berkata, beliau akan menghubungi SADA untuk mengetahui tentang perkembangan aduan tersebut.

Dia juga memaklumkan, pihak SADA sehingga kini masih mencari punca kepada tekanan air rendah kerana tidak semua rumah penduduk di kampung itu mengalami masalah sama.