Dua lelaki yang pulang daripada program sambutan Hari Sukan Negara maut apabila motosikal yang dinaiki mereka melanggar sebuah treler di lorong kecemasan di KM 33.9, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kulai, kira-kira 31km dari sini.

Dalam kejadian 2.30 petang Sabtu itu, mangsa, Mohd Nizam Rosli, 22, dan Mohamad Hafiz Yusuf, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Razak Md Said, dalam kenyataan pada Ahad, berkata siasatan awal mendapati penunggang, Mohd Nizam, gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar treler yang berhenti di lorong kecemasan itu

Beliau berkata pihak keluarga menuntut mayat mangsa untuk urusan pengebumian selepas proses bedah siasat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, selesai pada pukul 11 pagi Ahad.

Dalam pada itu, beliau menafikan kononnya polis masih gagal menghubungi keluarga mangsa seperti yang diviralkan menerusi media sosial.

Beliau meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak berasas itu bagi menghormati keluarga mangsa. - BERNAMA