Polis sedang memburu dua individu yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini, kira-kira jam 10.50 malam tadi.

Insiden itu mencetuskan panik lebih 100 pengunjung di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata ketika kejadian, terdapat empat pekerja di luar pintu masuk dan bahagian penyambut tetamu.

Katanya lagi, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal itu melepaskan tembakan dari kawasan letak kereta ke arah dinding pusat hiburan berkenaan.

Pemeriksaan forensik menemukan 25 kelongsong peluru di kawasan parkir yang terletak 30 meter dari pintu masuk pusat hiburan.

Tiada individu yang cedera dan motif kejadian masih dalam siasatan.