Jabatan Perikanan akan memperkenalkan dua syarat baharu untuk nelayan memperbaharui lesen mereka menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Abu Hasan.

Beliau berkata dua syarat itu ialah mewajibkan penggunaan alat pengesan (beacon) di jaket keselamatan dan mewajibkan mereka mencarum Skim Insurans Nelayan Berkelompok (SINB).

"Dua perkara ini adalah yang paling ditekankan oleh Menteri (Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) dalam memastikan keselamatan nelayan agar kejadian lemas seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang lagi.

"Pemakaian alat pengesan di jaket keselamatan itu nanti akan memudahkan operasi pencarian jika berlaku kejadian lemas atau sebarang musibah di laut untuk mengesan kedudukan terakhir nelayan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan 1,438 ekor anak penyu di pantai Paka di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pihaknya akan mengadakan projek perintis pemakaian alat pengesan jaket keselamatan itu di Terengganu tidak lama lagi, namun jumlah nelayan yang akan terlibat masih belum dimuktamadkan.

"Sebenarnya syarat memiliki jaket keselamatan di dalam bot sudah ada untuk nelayan memperbaharui lesen mereka namun tiada penguatkuasaan di laut sama ada mereka menggunakannya atau tidak.

"Sebab itu penggunaan alat pengesan di jaket keselamatan ini dilihat penyelesaian terbaik untuk memastikan keselamatan nelayan berada di tahap terbaik sepanjang mereka berada di laut," katanya.

Dua perkara itu juga akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat jawatankuasa khas yang dianggotai Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan syarikat insurans dalam masa terdekat, katanya.

-- BERNAMA