Pihak berkuasa penerbangan awam di negara ini perlu mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu, kononnya pesawat peribadi yang dinaikinya telah disabotaj.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, tuduhan itu sangat serius kerana ia boleh menjejaskan keyakinan dunia terhadap industri penerbangan negara.

BACA: Ada pihak mahu saya mati' - Dr Mahathir

BACA: Penerbangan Awam nafi dakwaan Tun Mahathir pesawat disabotaj

Di samping itu, kata beliau, dakwaan itu juga boleh menyebabkan dunia kurang keyakinan terhadap keupayaan negara mengawal tempat-tempat keselamatan.

Menurut beliau, industri penerbangan bukan hak mutlak sesebuah negara, sebaliknya ia saling berkait di seluruh dunia.

Tambahan pula, katanya, dalam keadaan sekarang dimana isu keselamatan sangat sensitif, lebih-lebih lagi dengan adanya ancaman daripada kumpulan pengganas seperti Daish, yang turut mengancam keselamatan dunia.


"Jadi Jabatan Penerbangan Awam sekarang ini sepatutnya melihat Akta mereka kerana ini adalah serius dan kalau tidak, if we don't clear the air, maka ini akan menyebabkan dunia akan kurang berkeyakinan terhadap keupayaan kita untuk menjaga keselamatan penerbangan awam.

"Ini serius. Saya betul-betul harap pihak Penerbangan Awam kita akan ambil tindakan terhadap Mahathir kerana membuat satu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perpustakaan Desa Kampung Bota Kanan dan Karnival Membaca di sini, hari ini.

Sebelum ini Dr Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang dinaikinya telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaporkan tiada unsur-unsur sabotaj setelah pihak tersebut melakukan siasatan.