Terlalu sayangkan kucing dan sedaya upaya tidak mahu melanggarnya - namun kenderaan dipandu terbabas dan terlibat kemalangan yang akhirnya meragut nyawa sendiri serta rakan yang menumpang.

Itulah yang terjadi pada Mohamad Irfan Rosli, 23, yang meninggal dunia bersama rakannya, Mohd Aswat Mokhtar, 23, selepas Proton Satria Neo yang dipandu Mohamad Irfan cuba mengelak kucing melintas lalu terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tanah Merah berhadapan Pine Cafe, Jenan dekat Jitra, awal pagi Rabu.

Perkara itu dinyatakan oleh saksi awam yang berada di lokasi, semasa kejadian jam 2.40 pagi itu berlaku.

Sementara itu, sepupu Mohamad Irfan, Mohamad Zulfadli Mohd Haji, 21, pula berkata mangsa sebelum itu sempat menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya.

"Arwah sempat memuat naik status di aplikasi WhatsApp yang mengatakan jalan yang dilaluinya sunyi pada jam 2.25 pagi ketika dalam perjalanan pulang dari Alor Setar sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira 15 minit kemudian,” ujar Mohamad Zulfadli.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang kereta berkenaan.

Mohamad Irfan dikatakan sebagai seorang yang amat menyayangi kucing, malah apabila bertemu kucing jalanan, dia akan memberi haiwan itu makan.

“Dia memang suka kucing. Itu yang dia elak tu bila dia nampak kucing,” ujar Mohamad Zulfadli.

Dia sejak kecil rapat dengan arwah, yang disifatkan sebagai seorang yang sangat rajin dan baik.

Sementara itu suasana di perkarangan rumah mayat bertambah pilu apabila bapa mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah anaknya hendak dibawa keluar ke dalam van dan terpaksa ditenangkan keluarganya.

Difahamkan, Mohamad Irfan ialah anak tunggal dalam keluarga dan disenangi ramai.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pida 3 Tunjang selepas solat Asar manakala rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lama Jitra.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai terbabas lalu melanggar batang pokok.

Kesan impak pelanggaran yang kuat, kereta yang dinaiki kedua mangsa itu remuk di bahagian kanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.