Empat lelaki termasuk dua daripadanya remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret George Town, hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, T. Nhaveen, 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, J. Ragesuthen dan S. Gokulan, kedua-duanya berusia 18 tahun, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun didakwa menyebabkan kematian ke atas Nhaveen, di Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, antara jam 11 malam hingga 12 malam, pada 9 Jun lalu.

BACA: Kematian Nhaveen dapat perhatian masyarakat antarabangsa

BACA: Ambil iktibar melalui kes T. Nhaveen - Saravanan

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Mohamad Amin kemudian mengarahkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin, selain menetapkan 28 September hadapan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen George Town, kesemua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata ke atas seorang lagi mangsa iaitu T. Previin, 19.

BACA: Kes T. Nhaveen diklasifikasikan sebagai kes bunuh - Khalid

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu menggunakan topi keledar pada tarikh, masa dan lokasi yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Irwan kemudian mengarahkan semua tertuduh tidak dibenar diikat jamin, dan menetapkan 21 Ogos hadapan bagi sebutan semula itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sim dan Nurul Fatin Hussin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar dalam satu kenyataan berkata, seorang lagi suspek dikenakan perintah bon 118 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.


BACA: Jasad mangsa buli T. Nhaveen selamat disemadikan

BACA:
'Apa yang dia lakukan sehingga mendapat balasan sebegini?' - Ibu T. Nhaveen