Pakatan Harapan menggesa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk meletakkan jawatan kerana gagal untuk melaksanakan reformasi institusi Parlimen.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata Pandikar telah 'terlepas peluang' untuk menjadikan Parlimen lebih cekap apabila cadangan untuk mewujudkan sistem Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parlimen ditolak Kabinet.

"Umum juga sedia maklum bahawa Pandikar ada membuat kenyataan media untuk kembali ke arena politik secara aktif.

"Oleh itu, hasrat beliau ini menjadikan beliau tidak boleh lagi dianggap bebas dari kehendak politik pihak kerajaan.

"Jadi, beliau tidak lagi berkesan sebagai Speaker Dewan Rakyat," kata Saifuddin dalam satu sidang media oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Pada Ahad, Pandikar Amin dilaporkan mengakui beliau berminat untuk kembali ke dunia politik di Sabah, tetapi menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya pucuk pimpinan parti berhak menentukan sama ada beliau sesuai atau tidak dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang, baik untuk kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri.

Pada Januari tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kabinet telah bersetuju dengan tiga daripada empat teras cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi pelaksanaan transformasi Parlimen.

Katanya, teras cadangan yang diterima dalam mesyuarat Kabinet itu adalah pindaan berkenaan pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, mewujudkan Kamar Khas dan mewujudkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Bagaimanapun, kata Azalina, Kabinet membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan teras pindaan keempat iaitu mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang baharu.