PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, dalam masa terdekat.

Naib Presiden Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan akhir akan dibuat oleh DAP dan akan dibincangkan bersama anggota komponen Kerajaan Perpaduan.

"Kita ada berbincang secara umum dalam mesyuarat MPP Keadilan semalam.

"Saya difahamkan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan akan dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan dan seterusnya Majlis Presiden kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui selepas sidang media Felo Keadilan, pada Isnin.

Jelas Nik Nazmi lagi, sebagaimana pilihan raya negeri sebelum ini, pendekatan mereka ialah bertanding atas tiket kerajaan perpaduan walaupun kerusi tersebut milik Pakatan Harapan.

"We go in as one, sebagai satu sebab kita akan berdepan dengan Perikatan Nasional.

"Di pihak kita, pendekatan kita adalah berkempen dan berusaha sehabis baik supaya kemenangan itu menjadi milik bersama," katanya lagi

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.