Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang berlaku sejak Khamis akibat paip utama pecah di Sungai Buloh kini pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun bagi kawasan Petaling Jaya, hanya dua peratus kawasan yang masih dalam proses pemulihan bekalan air, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan hari ini.

"Sehingga 7 pagi ini, bekalan air ke 98 peratus kawasan di Petaling sudah pulih dan empat kawasan sedang dalam proses pemulihan bekalan iaitu melibatkan kawasan yang berada di penghujung sistem agihan dan di kawasan tinggi iaitu di Taman Gembira, Salak Selatan, Desa Petaling dan Jalan Kuchai Lama," kata Syabas.

Menurut Syabas, segala usaha untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air masih giat dilaksanakan dan bekalan air bantuan akan terus dihantar melalui lori tangki ke kawasan yang memerlukan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Maklumat terkini mengenai status pemulihan air boleh dirujuk di www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar ''mysyabas''.

-- BERNAMA