Tidak puas hati terhadap layanan majikan merupakan motif di sebalik kematian pemilik sebuah syarikat menjual lori, yang mayatnya dijumpai di Jalan Sri Purnama, Kampung Sri Purnama, dekat sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Shahurinain Jais berkata hasil siasatan mendapati kejadian disebabkan suspek tidak puas hati terhadap layanan majikan mereka ke atas salah seorang daripada mereka.

"Motif kes adalah kerana tidak puas hati terhadap layanan si mati kepada Than Nwe Soe," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Than, 39 tahun, dan Aung Thien Lin, 20 tahun, merupakan dua suspek warga Myanmar yang telah ditahan polis susulan penemuan mayat mangsa yang dikenali sebagai Goh Geok Leng, 43 tahun.

Kedua lelaki warga asing itu juga merupakan pekerja Goh.

Shahurinain juga berkata hasil bedah siasat terhadap mayat wanita itu juga mendapati punca kematian adalah akibat tidak boleh bernafas disebabkan tekupan dan mulut mangsa dipercayai disumbat dengan gumpalan kain serta tekanan pada atas leher.

"Hasil bedah siasat turut mengenal pasti terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa dipercayai akibat hentakan objek tumpul," kata beliau.

Mayat mangsa juga telah disahkan melalui pengecaman oleh suaminya.

Pada Jumaat, mayat Goh dijumpai di dalam sebuah lubang di bawah rumah kontena tempat tinggal pekerjanya setelah kehilangannya disedari oleh salah seorang pekerjanya sejak jam 2 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA