Gerakan yakin dapat memenangi lima kerusi parlimen dan 12 kerusi dewan undangan negeri termasuk di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Presidennya Datuk Seri Dr Mah Siew Keong berkata parti itu juga memutuskan untuk bertanding di semua 45 kerusi tradisi yang diperuntukkan kepada mereka di bawah Barisan Nasional menerusi konsesus perkongsian kuasa.

Beliau berkata parti itu juga sedang berunding dengan parti komponen lain mengenai kemungkinan bertukar kerusi yang membabitkan lima kawasan atau mendapatkan kerusi tambahan.

"Kira-kira 60 peratus calon merupakan muka baharu dan kebanyakan mereka adalah orang muda. Kami yakin akan mencatat prestasi lebih baik berbanding sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di Menara PGRM, di sini hari ini.

Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata beliau telah menyerahkan senarai calon berpotensi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Antaranya ialah Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Pemuda Tan Keng Liang serta timbalan masing-masing.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Pulau Pinang, Mah yang merupakan Anggota Parlimen Teluk Intan, berkata beliau serahkan perkara itu kepada parti.

Sebanyak 22 resolusi diluluskan oleh 1,778 perwakilan yang menghadiri persidangan tahun ini.

--BERNAMA