Golongan yang bekerja lebih terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit tifoid atau demam kepialu.

Menurut Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Chong Chee Kheong, ia ekoran rutin seharian mereka yang sering makan di luar disebabkan oleh kesibukan tugas.

Sehubungan itu, orang ramai terutamanya golongan pekerja disaran memilih kedai makan yang bersih bagi mengelak dijangkiti penyakit demam kepialu kerana pengambilan makanan dan minuman yang tercemar merupakan punca utama penyakit itu berlaku.

"Kita perlu menjaga kebersihan makanan atau minuman kita.

"Sekiranya kita makan di luar, kita hendaklah memilih kedai yang bersih dan lihat bagaimana makanan atau minuman itu dihidangkan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Kementerian Kesihatan Malaysia ke-4, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mempunyai gejala demam kepialu untuk segera berjumpa dengan doktor sekiranya simptom berlarutan beberapa hari.

INFOGRAFIK: Demam kepialu: Bagaimana tersebar, simptom dan cara mengelak daripada dijangkiti

"Apa yang kita nasihatkan ialah sekiranya gejala penyakit itu tidak sembuh dalam masa yang munasabah iaitu dua atau tiga hari, mereka harus berjumpa dengan doktor dengan segera.

"Ini kerana, pesakit akan mendapat komplikasi seperti pendarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis sekiranya lambat mendapatkan rawatan," jelasnya.

Antara gejala utama demam kepialu yang disebabkan oleh bakteria salmonella typhi ialah keletihan, demam, sakit perut, sembelit, sakit kepala, cirit-birit dan muntah.

Sementara itu, Dr Chong menafikan maklumat yang tersebar di aplikasi mudah alih WhatsApp kononnya beberapa kedai makan di sekitar KLCC dan Jalan Yap Kwan Seng didapati tercemar dan menyebabkan merebaknya wabak demam kepialu.

Katanya, setakat ini pihak KKM masih belum mengeluarkan senarai nama premis terbabit dengan pengendalian makanan dan minuman tidak bersih di Lembah Klang.