NIBONG TEBAL: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal diumumkan pada 27 Mei depan seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mendengar semua pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak dan ia selari dengan pandangan KPM terutamanya berkaitan kesejahteraan warga pendidik.

Menurutnya, guru-guru yang sudah merancang untuk bercuti pada tarikh berkenaan boleh meneruskan hasrat mereka malah pihak sekolah boleh menunda majlis sambutan meraikan keputusan pada suatu tarikh akan datang.

"Guru-guru yang telah pun merancang untuk bercuti teruskan tiada masalah, kita akan pastikan bahawa keputusan ini mereka akan dapat melalui atas talian atau kiriman pesanan ringkas (SMS) dan mana-mana yang tidak ada akses kepada atas talian dan SMS boleh dapatkan di mana-mana sekolah terdekat.

"Jadi pihak pentadbir kena uruskan nanti bagi menyampaikan keputusan kepada pelajar... sebab itu kita bagi masa tiga minggu untuk uruskan dan sesi libat urus kita akan laksanakan secepat mungkin bagi memastikan tiada isu berbangkit pada 27 Mei nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival HIP di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah di sini, pada Jumaat.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 yang membabitkan 395,870 calon akan diumumkan pada 27 Mei ini bermula 10 pagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dalam satu kenyataan merayu agar keputusan SPM 2023 diumumkan lebih awal (23 Mei) memandangkan tarikh rasmi dikeluarkan KPM itu merupakan cuti sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, penetapan tarikh 27 Mei depan juga memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persediaan untuk permohonan Unit Pusat Universiti (UPU). - Sinar Harian