Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan dipanggil semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Ia bagi memberi keterangan berkaitan siasatan SPRM mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Bernama yang memetik sumber SPRM memberitahu Guan Eng akan dipanggil memberi keterangan pada 11 pagi.

Hari ini merupakan kali ketiga beliau memberi keterangan kepada agensi itu berkaitan projek tersebut.

Semalam, Guan Eng meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7.40 malam selepas tujuh jam memberi keterangan kali kedua.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes itu kini berada dalam fasa akhir dan tidak ramai saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyempurnakan siasatan berkaitan projek tersebut.