Menggelarkan dirinya sebagai 'abah' kepada anak-anak murid di sekolahnya menjadikan hubungan antara guru besar ini dengan kanak-kanak Orang Asli seperti keluarga.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang di Sungkai, Perak, Narizan Baserah, 49, berkata disebabkan sikap pemalu masyarakat Orang Asli, beliau mengubah panggilannya kepada abah untuk mewujudkan hubungan yang lebih rapat.

"Cabaran mendidik anak-anak Orang Asli ini adalah mereka terlalu malu dan kadang-kadang tu negatif, bukan anak-anak murid saja ibu bapa mereka sekali. Kalau ibu bapa sanggup berubah insya-Allah anak-anak akan ikut.

"Sebab itu saya ubah (panggilan) diri saya, tak suka panggil guru besar. Ubah panggil abah... makin rapat. Bila dah jadi rapat macam tu orang kampung pun panggil saya abah juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2019, di sini hari ini.

Narizan adalah antara 25 orang guru di seluruh Malaysia yang menerima anugerah berkenaan kerana telah menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik pelajar.

Narizan berkata pengalamannya mengajar di SK Bidor sebelum ini yang turut mempunyai murid Orang Asli menjadikannya tidak kekok untuk mengajar di sekolah sekarang.

Menggunakan slogan dalam bahasa Semai, 'Sekolah Eng, Maruah Eng' (Sekolah Aku, Maruah Aku), beliau berkata slogan itu adalah sebagai pendorong kepada 173 orang murid di sekolah berkenaan untuk lebih bersemangat ke sekolah setiap hari.

Mengulas mengenai perancangan masa depan untuk sekolah berkenaan, beliau berharap untuk mengangkat sekolah itu ke peringkat antarabangsa menerusi bidang tarian.

Sementara itu, Mohd Farez Atan, 36, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur tidak menyangka niatnya yang sentiasa mahu membantu pelajar yang mengalami masalah dan dalam kesusahan menyebabkannya turut terpilih sebagai penerima anugerah itu.

"Saya berada dalam kalangan pelajar yang kebanyakan berdepan dengan masalah miskin bandar, masalah sosial dan sebagainya. Saya cuba memainkan peranan sebagai perantara untuk membantu menyelesaikan masalah para pelajar saya dan saya tidak pernah jemu dalam membantu mereka," katanya.

Seorang lagi penerima, V. Padmavathy, 51, guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Senawang di Negeri Sembilan pula berkata walaupun cacat di bahagian tangan kiri tidak menghalangnya untuk membantu pelajar yang memerlukan pertolongan.

"Sejak lahir saya tidak mempunyai tangan kiri. Tapi saya menjadi inspirasi kepada pelajar malah guru-guru kerana saya mampu berdikari seperti memandu sendiri kereta. Saya juga membantu menghantar pulang ke rumah pelajar yang tidak mempunyai kenderaan," katanya.

-- BERNAMA