Isu Puteri UMNO yang menjadi pemuas nafsu pemimpin untuk mendapatkan penajaan atau jawatan di dalam parti merupakan fitnah lama pihak tertentu yang dikitar semula.

Bekas Exco Puteri UMNO, Datin Seri Ismalina Ismail berkata, fitnah yang timbul semasa pilihan raya kecil dahulu dilihat sengaja dipanaskan semula dengan agenda untuk memburukkan parti.

"Apa yang telah disebarkan adalah berita kitar semula. Asasnya saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau komen berhubung isu berkenaan.

"Jadi saya pun tidak tahu dari mana datangnya dan timbulnya isu ini. Saya tidak pernah membuat kenyataan sebegitu. Sebenarnya fitnah ini telah direka semasa pilihan raya kecil beberapa tahun yang lalu.

"Saya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang menyebarkan semula posting ini bagi memecah belahkan silaturrahim antara sesama ahli UMNO," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Baru-baru ini, laman media sosial serta beberapa portal memainkan semula isu Puteri UMNO yang dijadikan pemuas nafsu pemimpin.

"Mana-mana pemimpin UMNO agar tidak menjadikan gadis-gadis puteri UMNO sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu serakah demi menawarkan sebarang penajaan keatas sesuatu pertandingan atau jawatan kepada Puteri UMNO ke dalam Parti," katanya ketika dipetik portal berkenaan.

Bagaimanapun, Ismalina menafikan sekeras-kerasnya catatan portal berkenaan.

Dalam pada itu tegasnya, fitnah itu hanya menambahkan pahalanya selain menafikan untuk membuat laporan polis mengenai isu berkenaan.

"Saya hendak biarkan sahaja. Ada sahabat yang memandang serius isu itu tetapi saya tidak mahu memanjangkannya.

"Bagaimanapun jika is melibatkan imej UMNO secara total mingkin kita akan bincang semula dan minta pendapat untuk membuat laporan polis," katanya.

Jelasnya, untuk waktu ini, isu itu tidak menjejaskan namanya selain meminta masyarakat tidak percaya terhadap fitnah berkenaan.