Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP digesa menghentikan segera semua projek pembangunan di lereng bukit di negeri itu susulan tragedi tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Tanjung Bungah, di sini, pada Ahad.

Naib Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, selain itu, kerajaan negeri perlu menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula semua projek pembangunan di lereng bukit yang sedang dilaksanakan serta projek yang belum diluluskan.

Di samping itu, Gerakan juga meminta agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tragedi tanah runtuh itu yang menyebabkan 14 pekerja binaan tertimbus, katanya dalam kenyataan di sini.

Setakat pagi ini, lima mayat telah ditemui.

Beliau mendakwa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu pernah membantah pelaksanaan projek tersebut kerana faktor keselamatan namun kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkeras meluluskan projek tersebut.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan negeri mematuhi garis panduan sedia ada iaitu tidak meluluskan projek pembangunan kawasan bukit yang terletak melebihi 76 meter dari paras laut.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Hng Chee Wey turut berkongsi pandangan sama serta meminta kerajaan negeri membuat pemantauan terhadap tapak pembangunan perumahan di kawasan lain bagi mengelak tragedi sama berulang.

Beliau mendakwa sejak pembangkang mula mentadbir urus negeri itu, mereka telah memberi banyak kelulusan kepada pemaju perumahan walaupun ada sebilangan projek di kawasan lereng bukit kerap dipersoal dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim berkata kejadian malang itu tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan negeri mendengar teguran dan nasihat daripada rakyat negeri itu berhubung penggondolan bukit dan cerun di negeri ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengambil tanggungjawab sepenuhnya serta meletak jawatan susulan kejadian itu.

-- BERNAMA