Penduduk Kuala Dipang di sini menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pengusaha kolam ikan yang menjadikan bangkai babi sebagai makanan ikan ternakan mereka.

Tindakan segera dan tegas itu penting untuk memulihkan semula imej Kuala Dipang yang selama ini terkenal sebagai pengeluar ikan ternakan.

Menurut seorang penternak ikan darat, Mohd Risdi Ghazali, pendedahan oleh Jabatan Agama Islam Perak baru-baru ini amat mengejutkan penternak setempat.

‘’Sikap penternak tidak bertanggungjawab itu akan menjejaskan pendapatan kami. Hasil itu juga kami guna untuk menyara keluarga.

"Sekitar sini ada tiga hingga empat kolam diusahakan orang Melayu dan bila isu ini timbul, pendapatan kami terjejas juga,’’ katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Kuala Dipang di sini, hari ini.

Selain itu bagi, Ghazali Darus, selain menjejaskan pegusaha lain, isu bangkai babi sebagai makan ikan tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan soal sensitiviti umat Islam.

‘’Pihak terlibat mestilah ambil tindakan kerana kita juga tidak tahan dengan benda macam ni. Sebagai orang kampung, kami tidak boleh buat apa dan kami juga berniaga dalam kawasan ini,’’ ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, Kerajaan Negeri kesal dengan sikap penternak terlibat tidak memikirkan sensitiviti pengguna Islam dan hanya mementingkan soal keuntungan semata-mata.

Pada Khamis, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Mufti, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, polis serta beberapa agensi lain menyerbu sebuah kolam haram yang diusahakan atas tanah lombong di Kuala Dipang.

Hasil serbuan, pihak berkuasa menemui tulang babi di dalam kolam ternakan berkenaan dipercayai sisa daripada bangkai babi yang dijadikan sebagai makanan kepada ikan yang dibela.