Kemenangan UMNO dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru iini adalah bukti terbaharu bahawa parti keramat Melayu itu telah pun 'bersekedudukan' dengan Pas.

Perkara itu ditegaskan oleh Tokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin menerusi kemas kini terbaharu di blognya kadirjasin.blogspot.com hari ini.

Katanya, ia bukan suatu yang mengejutkan sekiranya MCA dan MIC mengambil keputusan untuk keluar pintu belakang dengan tujuan mencari pasangan baharu berikutan hubungan ‘halal’ kedua-dua parti tersebut.

“Sama ada UMNO dan Pas 'berkahwin' secara sah atau sekadar 'bersekedudukan', MCA dan MIC tidak ada tempat lagi di dalam rumah bernama Barisan Nasional (BN) itu.

“Malah nama BN tidak sesuai lagi digunakan oleh UMNO dan Pas kerana gabungan mereka bukan berasakan kepelbagaian bangsa dan agama tetapi berupa kesepakatan di antara Melayu nasionalis dan Melayu agama,” demikian tulis beliau dalam entri tersebut.

A.Kadir turut melahirkan rasa pelik bagaimana kedua-dua parti tersebut boleh "menyamak najis" yang mereka campakkan ke arah satu sama lain sedangkan sebelum ini mereka pernah bermasam muka.

“Pas pernah menuduh UMNO assabiyah dan (Datuk Seri) Abdul Hadi sendiri mengeluarkan amanat yang mengatakan, lebih kurang, bahawa darah orang UMNO sah ditumpahkan dan orang Pas yang terbunuh melawan UMNO adalah syahid,” katanya.

Bagaimanapun, A.Kadir tidak menolak bahawa pintu kepada perhubungan antara kedua parti tersebut telah mula dibuka semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengamalkan konsep “cash is king”.

“Ia telah “mengkorupsikan” pemimpin tertentu Pas dengan memperkenalkan mereka kepada gaya hidup mewah melalui sogokan yang dikatakan bernilai hingga RM90 juta.

“Hal itu terbongkar dan menjadi sahih apabila Pas dan para sahabatnya baru-baru ini membayar RM1.4 juta kepada Ketua Pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown supaya menggugurkan kes saman malu di mahkamah sivil London.

“Kesenangan dunia yang ditawarkan oleh UMNO itu akhirnya memerangkap Pas. Pas sedang hilang akal - lebih kurang macam orang yang seleweng agama akhirnya jadi gila isim - gila dan insane. Dua kali gila.

"Kesudahannya pekung makin terdedah dan berjuta duit ahli habis dibelanjakan untuk saman Sarawak Report. Bila Sawarak Report lawan balik, Pas upah Claire Brown supaya selesai luar mahkamah," katanya.