Ini rangkuman kes video intim yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet

Ini rangkuman kes video intim yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet
Video intim dua individu yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet menjadi bualan rakyat Malaysia sejak 7 bulan lalu. Gambar: Astro AWANI
Kuala Lumpur: Isu video intim yang tular dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet terus mendapat perhatian.

Meskipun siasatan dan hasil analisa telah dilakukan sejak tujuh bulan lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehinggakan terpaksa menggunakan pakar dari luar negara.

Keputusan Pejabat Peguam Negara pada Khamis, menjawab kepada persoalan dalam kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia.

Berikut perjalanan kes video intim yang perlu anda tahu.

11 Jun 2019

Beberapa klip video intim rakaman dua lelaku melakukan hubungan sejenis dan salah seorang daripadanya didakwa mirip seorang menteri kanan tersebar.

Video itu disebarkan melalui kumpulan Whatsapp yang dinamakan 'Jemputan Hari Raya' pada jam 1.20 pagi, Selasa.

12 Jun 2019

Kurang 12 jam, Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama mengakui dia adalah salah seorang daripada individu dalam video tersebut.

Dalam kenyataannya, dia mendakwa individu di dalam video itu "seorang yang tidak boleh dipercayai dan perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Kenyataan itu dipercayai berkaitan dengan isu pemindahan wang bernilai RM3,083,092 (AS$741,440) dari akaun syarikat UEM Group Berhad ke akaun Maybank milik peribadi menteri itu pada 19 Disember 2017.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin, Hilman Idham berkata, beliau bersama-sama dengan Timbalan Presiden PKR itu sepanjang berada di Sandakan sempena PRK, Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa Mohamed Azmin, tidak pernah berjumpa dengan lelaki bernama Muhammad Haziq Aziz yang dikaitkan dengan video intim itu.

BACA: 'Azmin tak pernah jumpa Haziq di Sandakan' - Hilman

13 Jun 2019

Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat laporan polis dengan niat menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Menurut gambar yang dikongsikan menerusi akaun Facebook miliknya, Haziq membuat laporan di balai polis Kelana Jaya kerana bimbang terhadap keselamatannya.

BACA: Video intim: Giliran Haziq Aziz buat laporan polis

14 Jun 2019

Polis telah menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6 petang Jumaat.

Beliau dikatakan ingin berlepas ke Manila, Filipina.

15 Jun 2019

Haziq dibebaskan atas jaminan polis selepas membantu siasatan berhubung video intim tersebut.

16 Jun 2019

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kepakaran Jabatan Forensik bagi menyiasat ketulenan video seks melibatkan Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

17 Jun 2019

Polis membuka satu kertas siasatan selepas menerima 17 laporan dan 21 kenyataan pula telah dirakam dalam siasatan berhubung video intim yang tular itu.

18 Jun 2019

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pada Isnin.

Keterangan itu diambil daripada Azmin bagi membantu siasatan pihak polis berhubung kontroversi video intim yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR itu sejak minggu lalu.

18 Jun 2019

CyberSecurity Malaysia (CSM) menerima rakaman video seks yang dikaitkan dengan individu mirip seorang menteri untuk dilakukan analisis teknikal, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Amirudin Abdul Wahab.

19 Jun 2019

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim memberi tempoh selama 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu untuk menjelaskan pada parti motif tindakannya itu.

26 Jun 2019

Sebuah klip video baharu yang memaparkan aksi intim di antara bekas pegawai politik Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang lelaki mirip seorang menteri telah dimuat naik ke laman web lucah.

Klip video berdurasi 9.10 minit itu dipercayai rakaman penuh yang memaparkan dua lelaki berbogel dan melakukan aksi intim yang tersebar sebelum ini.

14 Julai 2019

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan Polis telah mengenal pasti sekumpulan individu dipercayai dalang penyebaran video intim itu.

Bagaimanapun beliau memaklumkan Pejabat Peguam Negara telah kembalikan kertas siasatan yang dihantar pihaknya.

Pejabat Peguam Negara berpendapat, ada elemen siasatan yang perlu dikemas kini.

BACA: Polis kenal pasti dalang video lucah babitkan Haziq

15 Julai 2019

Haziq Abdullah dan lima individu lain ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi di sekitar Lembah Klang oleh Unit Jabatan Siasatan Bukit Aman.

16 Julai 2019

Polis memperluaskan skop siasatan berhubung video intim didakwa membabitkan seorang individu mirip Menteri Kabinet itu.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador, ia termasuk siasatan kemungkinan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor dalam penyebaran video itu.

Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung video intim tersebut.

Penahanan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman pada jam 2.30 petang.

BACA: Video seks: Polis perluas skop siasatan

17 Julai 2019

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata wujud gerakan politik untuk menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan video intim itu.

Pada masa sama, beliau hairan dengan tindakan individu yang cuba menjatuhkan Mohamed Azmin sehingga sanggup memalukan diri sendiri.

18 Julai 2019

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu program bualan tv tempatan mengatakan video intim yang dikaitkan dengan seorang individu mirip Menteri Kabinet itu adalah tulen.

Bagaimanapun, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan seratus peratus pelaku dalam video berkenaan.

Abdul Hamid menegaskan tiada campur tangan politik atau sebarang tekanan dalam siasatan berhubung video tersebut.



20 Julai 2019

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik kenyataan polis mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat dikaitkan dengan pelaku dalam video tersebut.

Keadilan jelasnya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana ahli parti yang didapati bersalah menyebarkan video intim itu.

22 Julai 2019

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak akan mendedahkan siapa dalang di sebalik penyebaran video intim yang dikaitkan dengannya.

Sebaliknya, beliau menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mendedahkan dalang terbabit.

25 Julai 2019

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak diminta untuk memberi penjelasan kepada parti itu berhubung kenyataan mereka mengenai isu video intim berkenaan.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengatakan parti itu telah meminta Lembaga Disiplin untuk menghubungi Farhash dan Amirudin serta beberapa anggota PKR yang lain.

25 September 2019

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kepakaran pihak luar untuk menganalisa kandungan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan seperti yang tular di media sosial beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu seiring dengan arahan yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara agar mendapatkan pandangan daripada dua pihak yang berkepakaran dalam bidang terbabit.



20 November 2019

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Huzir Mohamed menjelaskan PDRM sedang menanti laporan analisis siasatan forensik yang dilakukan oleh pakar di Amerika Syarikat (AS)

Pihaknya optimis laporan berkenaan akan diperoleh sebelum hujung tahun 2019.

6 Januari 2020

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Huzir Mohamed menjelaskan satu kenyataan bersama akan dibuat oleh PDRM dan Pejabat Peguam Negara mengenai laporan analisa video intim itu.

Ujarnya, kenyataan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau juga mengesahkan, hasil analisa video oleh Pakar dari Amerika Syarikat (AS) itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada hujung tahun 2019.

BACA: Kes video intim dikaitkan menteri akan diumum dalam masa terdekat - Polis

9 Januari 2020


Jabatan Peguam Negara tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang dipercayai yang pernah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet seperti yang tular beberapa bulan lalu.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, tiada pertuduhan yang boleh dibuat berhubung dengan kes video seks itu.

Thomas berkata, siasatan telah dijalankan di bawah seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan berikutan daripada beberapa laporan polis yang dibuat beberapa individu yang berbeza mengenai video tersebut.

BACA: Video intim: Tiada individu akan didakwa - Peguam Negara

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan tidak dimaklumkan berhubung keputusan Peguam Negara berhubung klip-klip video intim melibatkan seorang menteri Kabinet.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya sedang menunggu perkembangan terkini daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan itu.

BACA: Video Intim: "Saya tidak tahu apa-apa" - KPN