Pelbagai inisiatif untuk membela nasib golongan miskin hanya akan berjaya jika rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata golongan miskin dan berpendapatan rendah, penoreh, petani serta nelayan tidak akan sesekali diabaikan dan nasib mereka akan sentiasa dibela bagi mengurangkan himpitan dan bebanan sara hidup.

"Namun kejayaan program-program ini bergantung kepada kesungguhan dan kesanggupan rakyat untuk menyokong usaha murni kerajaan ini.

"Untuk berjaya, kita mesti berani membuat perubahan dan bertindak dengan bijaksana," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, Selasa malam.

Beliau berkata setiap tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan berintegriti dalam membangunkan negeri dan negara.

Mukhriz berkata kerajaan negeri akan sentiasa berusaha mengukuhkan ekonomi rakyat antaranya menerusi pembangunan zon-zon industri berimpak tinggi yang bakal menawarkan ribuan peluang pekerjaan dengan pendapatan lumayan kepada rakyat.

Selain itu untuk mengekalkan keamanan serta keharmonian di Kedah khususnya, perpaduan dan kestabilan politik harus terus dijaga kata beliau.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, tanpa mengira kepercayaan agama misalnya, menyambut perayaan ini bersama-sama dengan cara yang unik dalam suasana penuh muhibbah.

"Ini mencerminkan betapa teguhnya perpaduan, keharmonian dan toleransi agama yang terjalin dalam masyarakat Malaysia yang berbilang budaya dan inilah yang menjadikan kebanyakkan masyarakat dunia menyanjungi kita," katanya.

Beliau berkata kepentingan diri dan perbezaan politik harus diketepikan demi kebaikan bersama negeri, negara dan masyarakat.

-- BERNAMA