Permohonan untuk memanggil semula saksi ke-24 yang merupakan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, menjadi perbualan hangat pada sesi prosiding inkues pada Isnin melibatkan antara pihak Pegawai Pengendali Inkues dan peguam mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin mengemukakan permohonan untuk memanggil semula saksi berkenaan bagi memberi penjelasan berhubung keterangan saksi ke-29 yang merupakan bekas pakar forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Shahrom Abdul Wahid.

"Saksi ke-24 ini penting sebab kami masih boleh tanya soalan yang akan membantu mahkamah menilai keseluruhan keterangan dalam inkues dan untuk mencari keadilan yang sewajarnya," ujar beliau kepada Koroner Rofiah Mohammad.

Faten turut berkata, keperluan untuk memanggil semula itu penting ekoran terdapat dua pendapat berbeza oleh pihak saksi pakar berhubung 'mekanisme' kecederaan yang dialami Muhammad Adib.

Bagaimanapun, permohonan pihaknya itu dibidas oleh peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkara yang membuang masa.

"Pihak kami telah diberi peluang untuk tanya apa sahaja soalan berhubung keraguan berdasarkan laporan bedah siasat kepada pakar dan kami telah dapat jawapan.

"Saya percaya sekiranya Dr Ahmad Hafizam dipanggil semula untuk menyangkal keterangan Dr Shahrom, perkara ini tiada penghujungnya dan saksi akan ulang perkara sama jadi bila nak habis?" jelas Syazlin.

Dia berpendapat bahawa Mahkamah Koroner tidak sepatutnya memanjangkan isu perbezaan pendapat ini kerana baginya, setiap pakar mempunyai pendapat tersendiri dan pihaknya akur dengan pendirian mereka dan tiada sebarang isu yang timbul.

Syazlin turut menyifatkan tindakan Faten itu sebagai memihak kepada Dr Ahmad Hafizam dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Namun, Faten menegaskan dia tiada sebarang kepentingan terhadap saksi dan hanya bertujuan untuk membantu pihak mahkamah dimana Dr Ahmad Hafizam berhak membuat penjelasan terhadap keterangan Dr Shahrom.

"Hafizam terlibat dengan post-mortem dan ada buat uji kaji namun teori beliau telah di-downgrade oleh Prof Shahrom, jadi tidakkah wajar beliau dipanggil untuk menjawab kritikan itu?" jelas Faten.

Sebelum ini terdapat dua perbezaan pendapat berhubung teori kecederaan Muhammad Adib antara kedua-dua saksi pakar fotensik berkenaan.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Rofiah kemudian memutuskan esok sebagai keputusan permohonan berkenaan.