Insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 di timur Ukraine adalah secara 'terang-terang mencabuli undang-undang antarabangsa', kata seorang pakar perundangan berpusat di New York yang menyediakan khidmat guaman mengenai undang-undang antarabangsa.

Pakar itu memberitahu Bernama dengan syarat identitinya dirahsiakan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCHR) Navi Pillay mungkin betul dalam pentafsiran tindakan itu menyamai jenayah perang.

Beliau berkata keadaan akan menjadi lebih jelas apabila semua fakta Navi, pada Isnin berkata insiden penembakan pesawat MH17 adalah jenayah perang dan menggesa supaya siasatan segera dan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu.

Beliau membuat komentari itu semasa Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke Ukraine mengeluarkan laporan baharu yang menggesa semua pihak lebih berhati-hati untuk mengelakkan pembunuhan dan kecederaan orang awam.

Insiden penembakan pesawat MAS itu masih dibahaskan secara hangat dalam kalangan para pegawai diplomatik dan penerbangan di Amerika Syarikat.

Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telahpun menggesa pada 21 Julai supaya siasatan antarabangsa dijalankan mengenai insiden itu dan mendesak kumpulan pemisah membenarkan penyiasat, pakar teknikal dan lain-lain memasuki kawasan tragedi.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200ER itu dipercayai telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara. Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak yang mendakwa bertanggungjawab terhadap tindakan kejam itu.