Pembatalan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) memberi kesan dan persepsi negatif kepada ekonomi dan pelaburan Selangor secara keseluruhannya.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius tindakan Kerajaan Selangor yang membatalkan secara mengejut projek Kidex tanpa memaklumkan atau membincangkan bersama dengan kerajaan pusat.

"Membatalkan keputusan yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi kesan kepada kerajaan negeri oleh pelabur. Ia pasti mewujudkan ketidakstabilan politik dan ekonomi sesebuah negeri maju seperti Selangor.

"Sudah tentu semua pelabur dan peniaga akan gusar dan bimbang dengan perkembangan ini kerana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) boleh melakukan tindakan drastik dengan membatalkan satu projek ekonomi secara tiba-tiba," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 16 Februari, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembatalan Kidex kerana kerajaan negeri mendapati pihak Kidex gagal mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.

Bagaimanapun Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan semua proses, prosedur dan prasyarat Kidex telah dipatuhi dan dikemukakan keseluruhannya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, yang telah mendapat kelulusan prinsip bersyarat pada 23 Feb 2012 daripada kerajaan negeri.

Kata Fadillah, Kidex merupakan satu penyelesaian bagi menangani kesesakan lalu lintas kawasan Lembah Klang dan Petaling Jaya, selain beberapa lebuh raya lain yang dicadangkan untuk mewujudkan jaringan jalan raya,lebuh raya dan pengangkutan awam yang lebih sistematik.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menyifatkan tindakan Azmin itu bakal menakutkan pelabur di Selangor.

"Pelabur dan peniaga akan khuatir serta gusar untuk melakukan aktiviti ekonomi memandangkan setiap keputusan yang pernah dipersetujui boleh dibatalkan dengan hanya menggunakan pelbagai alasan.

"Keputusan 'flip flop' ini sudah tentu akan menakutkan pelabur-pelabur yang ingin melabur di Selangor dan negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Irmohizam turut mencabar Azmin untuk membatalkan semua projek konsesi yang pernah diputuskan oleh kepimpinan Abdul Khalid sebelum ini.

"Adakah tindakan yang dilakukan oleh Azmin adalah untuk memperlahankan ekonomi negara serta ekonomi rakyat serta ingin melihat rakyat hidup melarat serta peluang ekonomi dan pekerjaan semakin tipis?" soalnya.