Jabatan Perangkaan Malaysia digesa menyediakan statistik yang relevan bagi membolehkan kerajaan menunaikan janji-janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk jangka masa pendek, sederhana, dan panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada masa sama, jabatan itu perlu mempunyai data yang berintegriti serta mencukupi sebagai panduan kepada kerajaan membuat keputusan polisi yang betul serta tepat.

“Dalam era penguasaan maklumat yang menjadi kekuatan daya saing sesebuah negara, statistik yang tepat dan pengetahuan yang relevan amat diperlukan dalam proses perancangan dan pembentukan dasar-dasar negara khasnya.

“(Contohnya) Sekarang ini kalau kita tengok di media sosial banyak fake news. Jadi, tolonglah kenal pasti dahulu (fake news berkenaan),” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 dan My Local Stats 2017 di Universiti Multimedia, di sini hari ini.

Malah, statistik yang disediakan perlu diperluaskan dan bukan hanya merangkumi aspek ekonomi tetapi termasuk aspek sosial.

“Sebagai contoh, kita mempunyai statistik berkaitan Business Conditions Survey yang disediakan oleh Malaysia Institute of Economic Research, sudah sampai masanya kita juga mempunyai Indeks Kesejahteraan Sosial yang menyukat kebahagiaan daripada pelbagai aspek kehidupan. Pada masa sama, statistik merangkumi aspek alam sekitar juga perlu diperluaskan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, selaras dengan konsensus yang dicapai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015, Jabatan Perangkaan Malaysia berperanan penting dalam penyediaan data dan statistik ke arah 17 Matlamat Pembangunan Mampan 2030 atau Agenda 2030.

Antara matlamat berkenaan termasuk menamatkan kemiskinan, akhiri kelaparan sambil mencapai keselamatan makanan, memastikan kehidupan yang sihat, pendidikan berkualiti dan kesaksamaan gender.

“Dari hari ini hingga tahun 2030, kita juga memerlukan statistik-statistik ini bagi memantau kedudukan kita setiap tahun supaya kita berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat berkenaan,” katanya lagi.