Penyokong parti Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dinasihatkan untuk menunggu sahaja di rumah bagi mengetahui sebarang keputusan melalui saluran media dan tidak mengadakan perhimpunan atau perarakan bagi meraikan kemenangan sebaik diumumkan pada malam nanti.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata peringatan itu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang boleh mencetus provokasi.

Beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini berpuas hati dengan perjalanan PRU14 kali ini yang berjalan secara lancar dan aman tanpa sebarang kekecohan.

Jelasnya, PDRM sememangnya tidak membenarkan sebarang perhimpunan atau perarakan diadakan dan berharap keamanan yang ditonjolkan sejak hari penamaan calon, dapat dikekalkan.

"Penyokong parti tak perlu berhimpun di mana-mana. Kalau boleh kita dengarkan keputusan PRU di rumah masing-masing. Saya rasa itu lebih selesa.

"PDRM tidak benarkan sebarang perhimpunan atau perarakan meraikan kemenangan atau sebagainya. Jadi kita mahu keputusan diterima melalui saluran media dan lepas itu kita bolehlah buat lain-lain perkara lebih sesuai daripada nak berhimpun," kata Zulkifli.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka petang Rabu.