Diskriminasi ke atas pesakit HIV merupakan suatu perkara yang salah di sisi undang-undang, dan ia sepatutnya tidak boleh lagi diterima pada masa zaman ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia melihat ke arah polisi yang dapat menghalang sebarang bentuk diskriminasi ke atas penghidap HIV termasuk di tempat kerja.

Tambahnya lagi, inisiatif Konsortium Perniagaan Malaysia mengenai HIV/AIDS di Yayasan AIDS Malaysia (YAM) bagi mewujudkan peraturan melindungi hak dan mengendalikan pekerja HIV positif di tempat kerja di Malaysia, perlu diberikan perhatian.

"HIV mempunyai kesan langsung ke atas perniagaan. Adalah penting bagi Malaysia untuk memberi tumpuan kepada dasar yang akan memberi sokongan kepada penghidap HIV di tempat kerja.

"Diskriminasi ke atas pesakit HIV adalah menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima pada hari ini dan zaman ini," tegasnya dalam ucapan yang dibacakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Majlis Makan Malam Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018.

Tambahnya, beberapa minggu kebelakangan ini beberapa ahli Kabinet telah menekankan pentingnya mempunyai peraturan untuk menghentikan diskriminasi pekerja HIV-positif.

Dr Mahathir turut memuji usaha-usaha badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini banyak menyumbangkan bakti membela nasib penghidap HIV dan AIDS.

Majlis Makan Malam Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018 juga telah menyampaikan pengiktirafan kepada Matron Fadzilah Abdul Hamid sebagai penghargaan kepada usaha beliau mengakhiri AIDS di Malaysia.

Matron Fadzilah, 68, telah dianugerahkan sebuah trofi sijil kecemerlangan dan gajaran tunai sebanyak RM10,000 oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semasa Majlis makan Malam gala anugerah tersebut.