DUA tahun lalu para peserta kursus pegawai integriti bertauliah dibawa melawat bandar raya Melaka bersejarah. Semasa sedang berbual-bual dengan pengendali bot pesiaran, beliau ditanya sama ada penumpang boleh cuba mengendali bot. Jawapan tegas beliau: "Tidak boleh encik, ini tugas saya. Keselamatan anda kami kena jaga". Sikap menunai amanah yang diletakkan dan komitmen pengendali bot itu mencerminkan nilai integriti beliau amalkan dalam memastikan nyawa penumpang senantiasa menjadi keutamaan. Sifat-sifat sedemikian merupakan antara ciri yang perlu ada pada diri seseorang pekerja, tidak kira di mana mereka berada. Ada banyak contoh yang perlu dikongsi bersama apabila membicarakan mengenai budaya berintegriti.

Kita perlu mengakui bahawa daripada lebih 10 juta pekerja di negara ini, sebahagian besar sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni sama ada secara langsung dan juga secara tidak langsung, sama ada yang tersurat atas nama undang-undang, kod etika dan sebagainya. Yang penting budaya berintegriti perlu dijadikan amalan sepanjang masa. Petikan popular C.L. Lewis berbunyi "integrity is doing the right thing, even when no one is watching" manakala Baltasar Gracian pula berkata, "a single lie destroys a whole reputation of integrity". Kedua-dua ini menekankan betapa pentingnya amalan berintegriti dalam hidup diri kita.

Hari ini kita meraikan sambutan Hari Pekerja. Malaysia merupakan antara puluhan negara yang meraikan Hari Pekerja atau yang turut dikenali sebagai Hari Buruh. Di Malaysia, 1 Mei juga merupakan cuti umum sejak lebih empat dekad yang lalu. Cuti umum Hari Pekerja diumumkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 20 Mei 1972 sebagai tanda menghargai pengorbanan pekerja. Di sebalik tanggal 1 Mei ini, pada bulan ini, ada satu lagi tarikh yang signifikan bagi memperingati sumbangan pekerja - dalam kategori perkhidmatan perguruan. Malaysia juga tidak ketinggalan daripada meraikan Hari Guru.

Pekerja, tidak kira apa jua kategori perkhidmatan, memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Di mana budaya berintegriti turut menjadi asas kepada pertumbuhan dan pembangunan yang mapan. Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja diadakan dengan pelbagai cara dan penyampaian anugerah kepada pekerja-pekerja yang mempamerkan perkhidmatan terbaik. Kejayaan kerjaya seseorang sudah dipasti didorong atau dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Ini termasuklah amalan nilai-nilai positif termasuk budaya berintegriti tinggi. Pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi akan membawa kepada tahap kecemerlangan tinggi, bukan sahaja kepada diri pekerja, malah organisasi mereka bekerja.

Amalan taklimat integriti

Sebagai usaha berterusan pada Oktober lalu, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah memperkenalkan Taklimat Integriti semasa penganjuran Dialog Integriti ASEAN 2017. INTEGRITI mengesyorkan Taklimat Integriti dibacakan di awal setiap program yang dianjurkan bagi menekankan kepentingan amalan berintegriti dalam kalangan orang ramai. Sudah pasti sebahagian besar merupakan golongan pekerja. Taklimat Integriti ini terdiri daripada 12 perkara yang menyarankan orang ramai agar tidak melanggar aspek budaya berintegriti. Antara perkara yang digariskan termasuklah tidak menggunakan dana atau wang pejabat untuk kepentingan peribadi; tidak memperoleh wang, barang atau perkhidmatan secara paksa daripada pelanggan; tidak wajar menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan bagi khidmat yang diberikan; tidak terlibat secara langsung dalam proses pemberian kontrak kepada anggota keluarga dan kepada mereka yang ada kepentingan dengan diri anda dan tidak terlibat secara langsung dalam proses melantik anggota keluarga untuk mengisi kekosongan jawatan di organisasi kita bekerja. Saranan agar tidak mengemukakan tuntutan penginapan meskipun kemudahan penginapan disediakan oleh pihak penganjur dan mengambil atau menggunakan kemudahan pejabat (sebagai contoh 'thumb drive') untuk kegunaan peribadi atau keluarga juga disenaraikan. Sebahagian perkara di atas merujuk kepada tindak-tanduk di tempat kerja. Senarai ini hanya sebahagian daripada sejumlah tindakan, sama ada yang termaktub dalam undang-undang ataupun tidak, yang tidak wajar dilakukan dan sebaliknya harus bertindak dengan jujur pada sebarang masa dengan penuh amanah, jujur dan mengamalkan budaya berintegriti.

INTEGRITI memperkenalkan Taklimat Integriti susulan hasil kajian dalam kalangan penuntut universiti pada tahun lalu. Dapatan kajian menunjukkan majoriti penuntut institusi pengajian tinggi mempunyai tahap kefahaman yang tinggi mengenai perbuatan rasuah. Namun yang merisaukan adalah apabila masih ada pelajar tidak menyedari atau mengetahui sempadan nilai-nilai budaya berintegriti. Sebagai contoh seramai 35 peratus daripada responden yang menyatakan bahawa perbuatan menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan yang berbentuk rasuah. Malah 28 peratus daripada responden pula beranggapan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta/barangan pejabat seperti thumb drive, toner, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi. INTEGRITI juga khuatir sekiranya melihat kepada dapatan kajian ini kerana rata-rata para mahasiswa ini akan menerima ijazah dan memasuki alam pekerjaan. Mereka akan menjadi pemimpin ditempat kerja dan dalam komuniti mereka.

Jika kita melihat secara lebih meluas, istilah budaya berintegriti mencakupi skop yang luas. Segala-galanya yang berkaitan dengan nilai-nilai murni yang perlu diutamakan dalam amalan diri seseorang pekerja. Apabila ia dilanggari akan menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara khususnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Itu sebabnya sebagai golongan pekerja kita perlu senantiasa mengutamakan amalan budaya berintegriti dengan sebaik yang mungkin.

Lipatan sejarah sejak enam dekad yang lalu dengan jelas menunjukkan pihak majikan terutama kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pendekatan untuk menerapkan nilai-nilai budaya berintegriti. Ini termasuklah kempen Bersih, Cekap dan Amanah, kempen Kepimpinan Melalui Teladan, Budaya Kerja Cemerlang, Anugerah Kualiti, Piagam Pelanggan, sistem e-kerajaan dan MS ISO 9000 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Malah bagi memantapkan lagi kualiti perkhidmatan awam kerajaan ada mengeluarkan banyak pekeliling perkhidmatan awam bagi membudayakan nilai-nilai integriti, antaranya Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1. 2008, Panduan Pengurusan Perhubungan Pelanggan, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1 2009, Penambahbaikan Proses Pengurusan Aduan Awam, Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil. 2, 1996, Panduan Melaksanakan ISO 9000: 2000 dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5, 2007 serta pekeliling berkaitan penubuhan Unit Integriti di agens-agensi kerajaan lima tahun yang lalu. Pada masa yang sama sektor korporat juga memperkenal dan melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan ketelusan, tadbir urus baik dan integriti.

Ciri-ciri budaya berintegriti di tempat kerja

Sebagaimana disebutkan tadi, terdapat banyak ciri positif dan murni yang menjadi asas kepada budaya berinteriti di tempat kerja. Ini termasuklah membina hubungan kepercayaan dan hormat, berkomunikasi secara terbuka dan jujur, mematuhi dasar dan peraturan syarikat, mempamerkan kelakuan yang bertanggungjawab, bekerja dengan tekun, mengaku dan belajar dari kesilapan, memimpin melalui teladan, berteguh atas kepercayaan diri sendiri dan mempunyai identiti sendiri. Ia juga selari dengan apa yang dikatakan oleh Mark Murphy dalam bukunya yang berjudul "Truth at Work: The Science of Delivering Messages". Murphy menggariskan lapan pendekatan dalam membina persekitaran tempat kerja yang sihat sambil merumuskan bahawa dengan bergerak dari alam konfrontasi kepada perbualan atau perbincangan, daripada sentimen semata-mata kepada fakta, dan daripada berkelahi kepada arena dialog, kita boleh membawa semua orang untuk mendengar dan menerima kebenaran yang sukar.

Sempena sambutan Hari Pekerja, INTEGRITI sama-sama ingin melihat usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti dipertingkatkan oleh setiap anggota masyarakat agar agenda yang digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) – melahirkan rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi dicapai. PIN terdiri lapan institusi utama dan dua daripadanya yang ada kaitan langsung dengan dunia tempat kerja iaitu institusi pentadbiran dan ekonomi. INTEGRITI juga mengambil langkah untuk menggerakkan usaha ke arah itu. INTEGRITI telah menerbitkan Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Modul Integriti Industri Pembinaan. Secara tidak langsung kedua-dua modul ini berkait rapat dengan penghayatan budaya berintegriti dalam dunia pekerjaan.

INTEGRITI telah mengaturkan banyak program untuk mencapai objektif itu. Justeru, INTEGRITI memerlukan sokongan semua pihak. Kaum pekerja yang menjadi nadi kepada pembinaan negara boleh melakukan perubahan positif dengan memulakan langkah awal yang diharapkan. Sebenarnya peranan pekerja dalam hal ini bukan hanya terhenti di tempat kerja, malah ia berlarutan di institusi lain seperti keluarga dan masyarakat. Seperti disebutkan di peringkat awal tadi kita harus berbangga kerana sebahagian besar pekerja kita sentiasa mengutamakan budaya berintegriti tinggi. Oleh itu kita mahu setiap anggota pekerja memainkan peranan padu ke arah pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti.

Sama-samalah kita berganding mewujudkan satu gerakan memupuk budaya berintegriti, melibatkan semua peringkat – nasional, negeri dan daerah, dan semua peringkat usia rakyat negara ini. Sama-sama meraikan Hari Pekerja dengan penuh bermakna. Utamakan budaya berintegriti tinggi di tempat kerja sepanjang masa.