Jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian tembakan di Semporna kelmarin, tiba di Subang kira-kira jam 7 petang tadi.

Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27 diterbangkan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Charlie.

Kedua-dua jenazah tersebut disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir sama, bekas Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir yang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah wira-wira negara.

Sementara itu suasana pilu turut menyelubungi ahli keluarga sewaktu ketibaan jenazah.

Dalam kejadian tersebut Ibrahim dan Azrul terkorban selepas diserang hendap ketika melakukan siasatan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna.

Ia susulan maklumat mengatakan ada kumpulan bersenjata bersembunyi di perkampungan berkenaan.
Kedua-dua jenazah dikebumikan malam ini.

Ibrahim dikebumikan di tanah perkuburan USJ 20, Subang Jaya manakala Azrul dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Shapadu, Kampung Panjang, Klang.